Kematian Dan Alam Barzakh : Adakah Kita Sudah Bersedia Menghadapinya?






7 Destinasi Pengembaraan Roh
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

بِســـمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــم

Segala puji bagi ALLAH SWT, Tuhan sekelian alam.
Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga dan para sahabat.


Kematian itu adalah fitrah bagi setiap yang bernyawa. Benarlah Firman ALLAH SWT : “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berkuasa menolak mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku kecuali apa yang dikehendaki ALLAH. Bagi tiap-tiap umat ada tempoh yang ditetapkan; maka apabila tamat tempohnya, tidak dapat mereka melambatkannya sesaatpun, dan tidak dapat mereka menyegerakannya”. (Surah Yunus : Ayat 49)

Setiap yang bernyawa itu pasti akan merasai mati, kerana itu lumrah dan sunnatullah bagi setiap kehidupan yang berada di atas muka bumi ini. Tidak akan ada sesiapa pun yang kekal melainkan ALLAH SWT.

Hal ini sudah ditegaskan oleh Firman ALLAH SWT yang bermaksud : “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Surah Ali-Imran : Ayat 185)

Bagaimana jika mati menjemput secara tiba-tiba, tanpa ada yang memberitahu padahal pada waktu itu masih bergelumang dengan dosa. Patutlah para ulama’ berkali-kali mengingatkan bahawa setiap hari hendaklah muhasabah diri mengenai kematian walaupun seketika. Begitu juga dengan ingatan tulus ikhlas daripada Rasulullah SAW kepada kita semua bahawa orang yang mengingati mati itu adalah orang yang sangat bijak.
Perhatikan, bagaimana jika diri kita dijemput ALLAH SWT dalam keadaan yang masih bergelumang dengan dosa dan maksiat. Bukan sahaja tunggu seksaan di akhirat, malah di dalam kubur lagi kita sudah merasai keperitan azabnya.

Hadis ini membuktikan bahawa rehat hanya bagi orang yang bersih daripada dosa apabila berada di dalam kubur kelak, hadisnya yang bermaksud : “Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW menyebut berkenaan ujian-ujian di dalam kubur. Lalu Umar Al-khattab r.a. bertanya : “Adakah akan dikembalikan akal-akal kita (di dalam kubur kelak)?” Nabi menjawab : “Ya, ia akan dikembalikan sebagaimana keadaan kamu sekarang”. (Riwayat Ahmad No 6603, 2/172 : Ibnu Hibban, 7/387 Majma’ Zawaid, 3/47)

Bagaimana pula jika terpaksa menunggu di alam kubur sepanjang beribu-ribu tahun sebagaimana yang dikenakan kepada orang-orang yang mati dalam keadaan bergelumang dengan dosa? Dalam status penilaian akal ia sama sewaktu kita hidup. Tetapi status keadaan tubuh dan keselesaannya adalah diletakkan pada ruang liang lahad yang kecil, sempit, berselimut putih dan bertemankan binatang-binatang buas yang berada di bawah sana. Ya ALLAH, tidak dapat dibayangkan bagaimana keadaan kita di sana nanti.

Benarlah, hanya amal soleh yang dapat memberikan keselesaan tatkala itu. Selain itu, himpitan yang dikenakan di alam kubur juga adalah sangat dahsyat bagi orang yang zalim dan berbuat maksiat, buktinya daripada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud : “Sesungguhnya di alam kubur itu terdapat himpitan, dan jika seorang itu mampu selamat daripadanya sudah tentu (salah seorangnya) adalah Sa’ad bin Muadz (seorang sahabat Nabi yang hebat).” (Riwayat Ahmad dan disahihkan oleh Ibnu Hibban)

Maka benarlah! Mati itu adalah satu motivasi yang sangat berguna bagi yang hidup ini untuk beringat bahawa setiap tindak tanduk kita di dunia ini akan dinilai oleh ALLAH SWT dengan seadil-adilnya. Ya, ALLAH SWT telah menegaskan hal ini di dalam Al-Qur’an yang bermaksud : “Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! (Surah Az-Zalzalah : Ayat 6,7 dan

Fikir juga bagaimana keadaan diri kita apabila berada di akhirat sana pula! Wahai bakal-bakal jenazah yang dikasihi ALLAH SWT, kita semua tahu bahawa mati itu benar, alam barzakh itu benar, hitungan amal itu benar, titian sirat itu juga benar, syurga dan neraka juga benar. Persoalannya, adakah kita sudah bersedia menghadapinya?
Di sana kita hanya ada dua pilihan bukan tiga atau empat iaitu diletakkan sama ada di syurga atau neraka, jika baik timbangan amal kita, maka baiklah. Jika buruk timbangan amal kita, maka buruklah. Itu janji ALLAH SWT yang terpateri teguh di dalam Al-Qur’an dan As-sunnah.

Sesungguhnya, kita masih banyak peluang masa dan ruang untuk bertaubat serta menginsafi diri. Oleh itu, kita jangan buang masa lagi. Cepat bertindak, itulah orang yang sangat bijak menggunakan peluang.

الله♥

ALLAH SWT MELIHAT ~ MALAIKAT MENCATAT
LihatTutupKomentar