Jangan Mencaci Sesama Kita

Assalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh

بِســـمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــم

Segala puji bagi ALLAH SWT, Tuhan sekelian alam.
Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad Rasulullah SAW, keluarga dan para sahabat.

Jangan Mencaci Sesama Kita

Dari Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa satu ketika seorang lelaki sedang mencaci Abu Bakar ra sedangkan Rasulullah SAW sedang duduk di hadapannya. Orang itu terus mencacinya sedangkan Abu Bakar ra dan Rasulullah SAW terus bersabar mendengarnya. Lantas Rasulullah SAW tersenyum. Apabila orang itu mencacinya dengan keterlaluan, lantas Abu Bakar ra menjawab akan caciannya.

Mendengarkan akan jawapan itu, Rasulullah SAW begitu marah, bangun, lalu meninggalkannya. Abu Bakar ra menyusul Rasulullah SAW di belakangnya dan berkata : “Ya Rasulullah, apabila orang itu terus mencaciku engkau masih tetap duduk dan apabila aku menjawabnya, tuan nampaknya marah dan bangun?”

Rasulullah SAW menjawab : “Semasa kamu diam dan bersabar mendengarnya, seorang malaikat bersama denganmu yang mana sedang menjawab caci maki orang itu bagi pihakmu, tetapi apabila kamu menjawabnya semula, malaikat itu meninggalkanmu, dan syaitan telah datang di antara kamu, dan aku tidak mahu duduk bersama dengan syaitan; oleh kerana itu aku meninggalkan kamu.

(Hadith Riwayat Ahmad)


Siapalah kita yang mahu mencaci ciptaan ALLAH SWT? Sebanyak mana keburukan dan kesalahan mereka yang kita ketahui, ALLAH SWT lebih mengetahui. Walaupun sebanyak buih di laut, keampunan dan kasih sayang ALLAH SWT jauh lebih luas daripada itu.

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW telah bersabda : "Adakah kamu tahu siapakah orang papa (muflis) pada Hari Kiamat?" Jawab sahabat, "Orang papa yang kami tahu ialah orang yang habis wang dan harta bendanya. "Baginda bersabda lagi : "Sesungguhnya orang yang papa pada hari itu ialah orang yang mengerjakan sembahyang, puasa dan berzakat, di samping itu mereka suka mencaci atau memaki hamun, menuduh dengan sewenang-wenang, memakan harta orang lain, membunuh manusia dengan kejam dan memukul orang yang tidak bersalah. Segala amal kebajikannya yang dikerjakannya akan digunakan bagi menampung kesalahan dan kejahatan yang dilakukannya. Sekiranya kebajikannya tidak cukup, maka baki kesalahannya akan dicampur dengan kesalahan orang yang dianiaya lalu dibebankan kepadanya, kemudian ia dicampakkan kedalam neraka." (HR Muslim)

Semoga ALLAH SWT mengampuni segala dosa-dosa kita yang telah lalu dan marilah kita bertaubat dan bertekad tidak akan mencaci sesama kita lagi.

♥ ﷲ ♥

♥ ALLAH SWT MELIHAT ♥ ~ ♥ MALAIKAT MENCATAT ♥

~ 2 Safar 1433H ~
LihatTutupKomentar