Sholat Tarawih

Solat tarawih merupakan satu sunnah yang amat dituntut bagi seluruh umat Islam untuk mengerjakannya pada malam bulan Ramadan. Sabda baginda : “Sesiapa solat pada malam Ramadan dengan keimanan sebenar dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, no: 759.

Tarawih menurut asal katanya ialah duduk untuk istirahat setelah mengerjakan sembahyang empat rakaat. Setiap empat rakaat dinamakan tarawih adalah sebagai majaz, kerana adabnya istirahat sesudahnya. Erti Tarawih ialah duduk bersenang-senang atau beristirahat. Solat Tarawih bererti solat dengan rasa senang dan kelapangan hati selepas solat fardhu Isya'. Biasanya jemaah duduk berehat setelah mengerjakan empat rakaat solat Tarawih dan membaca zikir ataupun doa sebelum disambung semula dengan empat rakaat lagi, sehingga ckup 8 ataupun dua puluh rakaat. Tarawih itu disebut juga dengan Qiyamu Ramadan. Sembahyang Tarawih dikerjakan setelah mengerjakan sembahyang Isyak dan waktunya berpanjangan sehingga akhir malam.

Rasulullah SAW sangat menggalakkan sembahyang Tarawih. Abu Hurairah berkata; “Rasulullah SAW sangat menggalakkan sembahyang tarawih sekali pun beliau tidak mewajibkannya.” Beliau bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan Qiyamu Ramadan semata-mata kerana iman dan mengharap ganjaran dari ALLAH, maka diampuni dosa-dosanya yang lampau.” Qiyamu Ramadan ialah menghidupkan malamnya dengan mengerjakan sembahyang.

Aisyah ra berkata : “Rasulullah SAW mengerjakan sembahyang tarawih di masjid, kemudian ramai sahabat-sahabat yang mengikutnya. Pada malam berikutnya baginda SAW mengerjakannya lagi di masjid, sahabat-sahabat yang datang pun semakin ramai. Pada malam ketiga sahabat-sahabat berkumpul di masjd menunggu kedatangan Rasulullah SAW tetapi beliau tidak hadir. Besok paginya Rasulullah berkata kepada mereka; “Sesungguhnya aku melihat sambutan kamu. Sebenarnya aku tidak datang pada malam itu hanya kerana takut sembahyang itu diwajibkan ke atas kamu.” Dan peristiwa itu terjadi pada bulan Ramadan.

Hukum mengerjakan sembahyang tarawih adalah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) bagi dikerjakan oleh orang-orang Islam lelaki dan perempuan pada setiap malam bulan Ramadan sama ada secara berseorangan atau berjemaah. Sembahyang tarawih lebih afdal dikerjakan secara berjemaah di masjid, sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Menurut Imam Al Ghazali dalam buku Rahsia-Rahsia Solat, walaupun Solat Terawih boleh dilaksanakan secara sendirian tanpa berjemaah, solat terawih yang dilakukan secara berjemaah lebih afdal, sama seperti pendapat Umar ra yang mengingatkan bahawa sebahagian solat nawafil telah disyariat dalam solat berjemaah. Solat terawih termasuk solat Tahajjud atau shalatul lail dengan membaca al-Fatihah pada setiap rakaat dan membaca ayat-ayat atau surah daripada al-Quran.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra katanya : Saya telah mendengar sabda Rasulullah SAW mengenai Ramadan : “Sesiapa yang mendirikan sembahyang (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan ALLAH, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu.”

InsyALLAH... Marilah kita sama-sama menunaikan solat sunat Terawih yang amat menguntungkan ini... Semoga solat kita diterima ALLAH SWT.

"Selamat berpuasa dan berterawih"

~ 30 Syaaban 1433H ~
LihatTutupKomentar