Hukum mencukur bulu ari-ari

Hukum mencukur bulu ari-ari adalah sunat bagi lelaki dan perempuan. Bagi lelaki digalakkan menggunakan pisau cukur dan gunting manakala bagi perempuan pula boleh menggunakan limau nipis dan sulfat arsenik (kapor). Jika menimbulkan ketidakselesaan atau kesakitan maka bolehlah menggunakan pisau cukur atau gunting dan lain-lain peralatan yang seumpama dengannya..

Dari Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Daripada perkara fitrah ialah mencukur bulu ari-ari, memotong kuku dan menggunting misai”. (HR al-Bukhari)

Fitrah adalah bermaksud apa yang dicenderungi oleh tabiat kejadian manusia yang sejahtera. Islam adalah agama yang fitrah dan ajarannya menepati fitrah kejadian manusia. Fitrah manusia suka kepada kebersihan dan kesucian. Justeru, amat bertepatanlah pensyariatan mencukur bulu ari-ari ini.

Dalam hadis selain menggunakan lafaz halq al-anah حلق العانة (cukur bulu ari-ari), Nabi SAW juga menyebut dengan nama al-Istihdad. (al-Bukhari dan Muslim)

Al-Nawawi berkata : “al-Istihdad ialah halq al-anah (cukur bulu ari-ari). Dinamakan al-istihdad kerana caranya dengan menggunakan al-hadid (asal maksud besi : dikehendaki di sini ialah pisau cukur).
Perbuatan ini adalah sunnah, dan maqasid atau tujuannya adalah untuk kebersihan manusia itu sendiri. Ini dapat difahami dari segi logik akal fikiran manusia. Sudah semestinya Islam amat menitik beratkan kebersihan. Ini disokong oleh banyak dalil-dalil umum yang lain seperti hadis Muslim (Bersuci itu separuh daripada iman) dan begitu juga ayat-ayat pujian tentang orang yang suka kepada kebersihan

Sebab saintifik kenapa perlu dicukur :

Berkenaan saintifik kenapa perlu dicukur, kawasan bulu ari-ari adalah kawasan mudah berpeluh dan banyak keluar peluh. Sekiranya tidak dicukur, maka ia akan menjadi banyak dan lebih banyak mengeluarkan peluh. Apabila terkena kesa-kesan kumuhan badan serta najis-najis lain, mungkin amat sukar untuk dihilangkan. Lama kelamaan ia mendatangkan bau yang kurang enak. Tambahan pula, mencukur bulu ari-ari mencegah daripada pembiakan kutu. Selain itu, ia juga membantu penjagaan kulit di kawasan kemaluan.

Wallahualam

~ 7 Syaaban 1433H ~
LihatTutupKomentar