Keseimbangan Antara Ilmu Dunia dan Ilmu Akhirat




Perumpamaan ilmu itu adalah umpama cahaya yang menyinari hati dan akal fikiran. Tanpa hadirnya ilmu maka hati dan fikiran berada dalam kegelapan dan kesesatan. Sebab itulah Islam menekankan aspek keilmuan kepada umat-Nya kerana ilmu itu dapat diaplikasi dan digunakan untuk kemaslahatan agama, dunia dan akhirat. Perlu diingat ilmu yang dituntut itu adalah ilmu yang baik, berguna dan bermanfaat.

Abu Darda' berkata: "Aku pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: "Sesiapa yang menempuh perjalanan untuk menuntut ilmu, maka Allah memudahkan perjalanannya menuju Syurga. Malaikat akan menaungi penuntut ilmu dengan sayapnya kerana redha terhadap perkara yang dia lakukan. Semua penghuni langit dan bumi akan memohon ampun bagi mereka yang memiliki ilmu pengetahuan, demikian juga ikan di dalam air. Keutamaan seseorang yang berilmu pengetahuan atas seorang ahli ibadah bagaikan bulan dengan sekumpulan bintang. Ketahuilah bahawa ulama' adalah pewaris para Nabi. Dan para Nabi tidaklah mewariskan wang dinar mahupun dirham (harta), melainkan ilmu. Maka sesiapa yang mengambilnya, maka dia telah mendapatkan keberuntungan yang sangat besar." (Hadis riwayat Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah, Baihaqi, dan Ibnu Hibban)

Berdasarkan hadis di atas, ternyata ilmu itu adalah harta yang sebenar dan berharga melebihi kekayaan dan kemewahan yang sementara. Ilmu adalah warisan para nabi. Para nabi membawa ilmu yang diilhamkan dari pemilik segala ilmu iaitu Allah S.W.T. Biarpun para nabi membawa ilmu agama yang suci lagi mulia, tidaklah bermakna ilmu selain dari ilmu agama itu adalah sia-sia. Semua ilmu yang baik itu ada manfaatnya, tiada yang sia-sia. Cuma yang menjadikan ilmu itu sia-sia dan tiada harga apabila ilmu duniawi itu ditekankan lebih daripada ilmu Akhirat. Kadang-kala kita terlalu membanggakan ilmu dunia sehingga mengabaikan ilmu yang akan menentukan nasib kita di Akhirat nanti.

Muhasabahlah diri sejenak, sedalam mana ilmu akhirat kita berbanding ilmu duniawi yang kita belajar sejak dari sekolah hingga ke universiti. Adakah kedua-duanya seimbang? Atau adakah ilmu duniawi menguasai hidup kita melebihi ilmu ukhrawi? Tepuk dada, tanyalah Iman kita. Punyai ilmu agama tidak bermakna kita tidak boleh menjadi seorang doktor, jurutera, usahawan dan sebagainya. Betulkan persepsi kita dan hayatilah ilmu Islam yang indah dan luas aspeknya. Maka dengan itu, ummah mampu melahirkan doktor, jurutera mahupun usahawan yang soleh dan solehah. Itulah yang terbaik.

Posted by Kerohanian dan Sahsiah Kolej Antarabangsa Unifield
LihatTutupKomentar