Larangan Mencela Makanan

Assalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh

بِســـمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــم

Segala puji bagi ALLAH SWT, Tuhan sekelian alam
Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga dan para sahabat.

Larangan Mencela Makanan

Islam menganjurkan umatnya menghargai nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH SWT dan melarang mencelanya. Antara nikmat ALLAH SWT terhadap maklukNYA ialah makanan.

Makanan adalah suatu nikmat yang sangat penting bagi manusia, kerana manusia memerlukan makanan untuk hidup. Makanan itu pula ada kalanya disukai, sedap dan menyelerakan dan ada kalanya pula sebaliknya. Apabila dihidangkan dengan makanan yang tidak disukai, tidak sedap dan tidak menyelerakan, ada kalanya seseorang itu tidak dapat menahan diri daripada mencela makanan tersebut.

Imam al-Ghazali Rahimahullah berkata dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin bahawa seharusnya seorang muslim itu redha dengan rezeki dan makanan yang ada. Apabila sesuatu makanan yang dihidangkan itu tidak disukai, tidak sedap atau tidak menyelerakan, maka janganlah makanan itu dicela, cukuplah sekadar diam ataupun tidak memakannya.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik yang patut diteladani. Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa “Rasulullah SAW tidak sekali-kali mencela makanan. Jika Baginda menyukainya Baginda memakannya, dan jika Baginda tidak menyukainya Baginda akan meninggalkannya (tidak memakannya)” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dalam satu riwayat lain yang diriwayatkan oleh Muslim, Abu Hurairah ra berkata : “Aku tidak pernah sekali-kali melihat Rasulullah SAW mencela makanan.

Sesungguhnya
apabila Baginda menyukainya, Baginda memakannya dan apabila Baginda tidak menyukainya Baginda diam.” (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis di atas, para ulama mengambil kesimpulan bahawa makruh mencela makanan yang halal dimakan. Adapun makanan yang haram pula maka bolehlah dicela dan melarang orang lain memakannya.

Imam an-Nawawi Rahimahullah berpendapat bahawa antara adab makan yang penting untuk dijaga ialah tidak mencela sesuatu makanan yang dirasakan tidak sedap atau tidak menepati cita rasa; umpamanya mengatakannya masin, masam, kurang garam, cair, tidak cukup masak dan sebagainya.

Sebahagian ulama mengharuskan mencela makanan jika ianya bertujuan untuk mengkritik cara masakannya, bukannya bertujuan untuk mencela makanan tersebut. Bagaimanapun, menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalaani Rahimahullah, larangan mencela makanan tersebut adalah umum kerana mencela masakan seseorang boleh melukakan hati orang yang memasaknya. Akan tetapi jika ianya bertujuan untuk kebaikan masa hadapan, iaitu supaya masakan tersebut dapat diperbaiki maka tidaklah menjadi kesalahan menurut sebahagian ulama.

Jika dihidangkan sesuatu makanan sedangkan makanan tersebut tidak disukai ataupun tidak pandai memakannya, maka diperbolehkan menolak dengan mengatakan : “Saya tidak menyukai makanan ini” atau “Saya tidak biasa atau tidak pandai memakannya” atau dengan apa jua ungkapan yang seumpamanya.

Rasulullah SAW pernah dihidangkan dengan daging dhab bakar lalu Baginda tidak mahu memakannya. Khalid bin al-Walid ra lalu bertanya kepada Baginda : Adakah dhab itu haram wahai Rasulullah!?”

Rasulullah SAW pun menjawab : “Tidak, akan tetapi binatang itu tidak ada di bumi
(lingkungan) kaumku, sehingga aku tidak menyukainya.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam sebuah riwayat yang lain pula diceritakan bahawa Baginda menjawab : “Makanlah kamu, sesungguhnya ianya adalah halal. Akan tetapi ianya bukanlah daripada makananku (yang biasa aku makan).” (Hadits riwayat Muslim)

Disebalik larangan daripada mencela makanan, Islam menganjurkan pula memuji makanan yang telah dimakan. Bukan sahaja dianjurkan memuji makanan, bahkan Islam turut menganjurkan untuk menyebut-nyebut apa sahaja nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH SWT sebagai tanda syukur.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud : “Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebut (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNYA.” (Surah adh-Dhuha : 11)

Imam an-Nawawi Rahimahullah menyebutkan dalam kitab al-Azkar bahawa memuji makanan yang telah dimakan adalah sesuatu yang dianjurkan oleh Islam dan merupakan suatu sunnah Rasulullah SAW. Ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Jabir ra, beliau berkata : “Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah meminta lauk daripada keluarganya, lalu mereka menjawab: Kami tidak mempunyai apa-apa selain cuka. Maka Baginda pun memintanya dan memakan (makanannya) dengannya (cuka), lalu Baginda pun bersabda : “Sebaik-baik lauk ialah cuka”. (Hadits riwayat Muslim)

Makanan adalah nikmat kurniaan ALLAH SWT yang patut dihargai dan disyukuri dan jangan sekali-kali ianya dicela. Rasulullah SAW merupakan manusia contoh dan ikutan terbaik yang patut diteladani.

♥ الله♥

♥ ALLAH SWT MELIHAT ♥ ~ ♥ MALAIKAT MENCATAT ♥

~ 21 Safar 1434H ~
LihatTutupKomentar