Nafkah Zahir Hak Mutlak Seorang Isteri

Assalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh

بِســـمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــم

Segala puji bagi ALLAH SWT
Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad Rasulullah SAW, keluarga dan para sahabat.


Nafkah Zahir Hak Mutlak Seorang Isteri

Ramai lelaki tidak menyedari bahawa antara tanggungjawab terpenting mereka sebagai suami adalah untuk menanggung dan memberi nafkah zahir. Ia dalam bentuk wang ringgit secara bulanan kepada isteri bagi memastikan segala keperluan rumah tangga cukup dan selesa mengikut kemampuan.

Suami perlu akur bahawa hak isteri untuk mendapatkan nafkah zahir dalam bentuk wang ringgit adalah hak mutlak mereka. Jika suami ingkar, terdapat peruntukan undang-undang yang membolehkan pihak Mahkamah Syariah mahupun Sivil untuk campur tangan dan mengeluarkan perintah yang sewajarnya bagi memaksa suami menunaikan tanggungjawab tersebut.

Malahan kegagalan suami untuk membayar nafkah zahir kepada isteri tanpa kerelaan dan keredhaan isteri akan dianggap sebagai hutang tertunggak yang boleh dituntut oleh isteri jika berlaku sebarang tindakan atau tuntutan di mahkamah.

Hukum atau peruntukan bagi suami menunaikan tanggungjawab itu jelas melalui firman ALLAH SWT : “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah mengikut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan ALLAH kepada (sekadar yang mampu)…” (Surah at-Talaq : Ayat 7)

Melalui perintah ALLAH SWT ini, jelas dalam apa jua keadaan (melainkan jika isteri telah tamat idah setelah bercerai, hidup dalam perzinaan atau diisytiharkan nusyuz), suami tidak boleh atau tidak sepatutnya melalaikan atau cuai dalam menunaikan hak isteri tersebut.

Sekiranya suami menghadapi masalah kewangan, jika rezekinya disempitkan oleh ALLAH SWT, dia tetap perlu menunaikan tanggungjawab itu melainkan suami tersebut meminta kerelaan dan keredhaan isteri dalam hal yang berkenaan.

Namun, apa yang berlaku pada hari, sebilangan besar suami tidak pernah atau tidak berani menyatakan secara jelas kedudukan kewangan mereka kepada isteri. Lebih menyedihkan apabila mereka berandaian urusan wang ringgit dalam rumah tangga adalah kuasa dan hak mutlak suami.

Hakikatnya, isterilah yang berhak untuk meredhakan dan melepaskan tanggungjawab suami dalam hal-hal kesempitan hidup sekiranya berlaku dalam rumah tangga terutamanya apabila suami tidak mempunyai pekerjaan atau berhadapan dengan masalah kewangan.

Ada juga suami yang mempunyai persepsi sekiranya mereka membenarkan isteri bekerja untuk mencari pendapatan sendiri, maka secara automatik tanggungan nafkah zahir itu akan gugur terhadap mereka.

Persepsi ini adalah suatu penyelewengan kerana tanggungan suami terhadap isteri ialah dalam menyediakan wang ringgit bagi kehidupan yang selesa. Suami perlu faham walaupun dalam situasi isteri bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, tanggungan suami bagi memberikan nafkah zahir itu tidak hilang secara automatik.

- Artikel oleh Dr. Tengku Naufal Tengku Mansor
Peguam Syarie

~ 26 Syawal 1433H ~
LihatTutupKomentar