HAMBA YANG DICINTAI ALLAH.

Jumat, 21 September 2012
Assalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.

HAMBA YANG DICINTAI ALLAH.

Ibn Majah dan al-Hakim meriwayatkan daripada Aslam: "Pada suatu hari, Umar bin al-Khattab melihat Mu'az bin Jabal sedang menangis di sisi kubur Nabi s.a.w.. Beliau lalu bertanya: "Apakah yang menyebabkan kamu menangis?"

Mu'az menjawab: "Aku teringat sesuatu yang aku dengar daripada penghuni kubur ini. Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud): 'Sesungguhnya sedikit riyak ialah syirik. Sesiapa yang memusuhi wali Allah, maka dia telah menyatakan perang kepadaNya. Sesungguhnya Allah mencintai hamba-hamba yang berbakti, bertaqwa dan tersembunyi. Jika mereka tidak hadir, tidak ada yang mencari. Jika mereka hadir, tidak ada yang mengenalinya. Hati mereka ialah lantera-lantera petunjuk."

Kekasih Allah tidak menyukai kemahsyuran. Mereka selalu khuatir andai amal ibadahnya ditolak, meskipun telah melakukannya dengan sempurna. Kesibukannya dengan Allah tidak meninggalkan baki masa baginya untuk mendengar pujian atau celaan orang lain.

Berkata Syeikh Abdul Qadir Dastutui: "Seseorang hamba tidak patut berbangga dengan ilmu, harta dan jabatan yang dimilikinya sebelum ia selamat melintasi titian sirat. Apa gunanya pujian jika ia tetap terjatuh ke dalam neraka pada hari kiamat nanti?

Semoga Allah memberikan keikhlasan di hati-hati kita, mengampuni dosa-dosa kita dan menerima amal ibadah kita. Amin ya Rabbal'alamin.