KEISTIMEWAAN MALAM LAILATUL-QADAR


بِســـمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــم

Lailatul Qadar adalah malam yang diturunkan Al-Quran padanya. Ibnu ‘Abbas dan selainnya mengatakan: “ALLAH SWT menurunkan Al-Qur’an secara sempurna sekaligus dari Lauhul Mahfuz ke Baitul ‘Izzah yang ada di langit dunia. Kemudian ALLAH SWT menurunkan Al-Qur’an kepada Rasulullah SAW tersebut secara terpisah (beransur-ansur
) sesuai dengan kejadian-kejadian yang terjadi selama 23 tahun.” (Tafsir Ibnu Katsir, 14/403)

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud : “Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan” [Surah Al-Qadr 97 : Ayat 3]

An-Nakha’ie berkata: “Amalan pada malam Lailatul-Qadar lebih baik dari amalan di seribu bulan.” [Lihat Lathaif Al-Ma’arif, ms. 341[

Mujahid, Qatadah dan ulama lainnya berpendapat bahawa yang dimaksud dengan lebih baik dari seribu bulan adalah solat dan amalan pada malam Lailatul Qadar lebih baik dari solat dan puasa selama seribu bulan yang tidak terdapat Lailatul Qadar. [Zaadul Masir, 9/191]

Para malaikat termasuk malaikat Jibril turun pada Lailatul Qadar. Firman ALLAH SWT yang bermaksud : “Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan Ar-Ruh (malaikat Jibril).” [Surah Al-Qadr : Ayat 4].

Dosa setiap orang yang menghidupkan malam Lailatul Qadar akan diampunkan oleh ALLAH SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Barangsiapa melaksanakan solat pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharap pahala dari Allah, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” [HR. Bukhari]

Ibnu Hajar Al-Asqalani mengatakan bahawa yang dimaksudkan إِيمَانًا (dengan penuh keimanan) adalah membenarkan janji Allah iaitu pahala yang diberikan (bagi orang yang menghidupkan malam lailatul qadar). Sedangkan احْتِسَابًا bermakna mengharapkan ganjaran pahala, bukan kerana mengharap yang lainnya seperti riyak. [Fathul Bari, 4/251]

DOA PADA MALAM LAILATUL QADAR

Aisyah ra berkata: “Katakan padaku wahai Rasulullah, apakah pendapat engkau, jika aku mengetahui suatu malam itu adalah Lailatul Qadar. Apakah yang akan aku katakan (berdoa) di dalamnya?”

Baginda menjawab, “Katakanlah (Bacalah) :

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّى

Ertinya: Ya ALLAH sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf dan menyukai permohonan maaf, maka maafkanlah daku. (HR. Tirmizi, no. 3513, Ibnu Majah, no. 3850, dan Ahmad 6/171)

Lailatul Qadar lebih ditekankan adanya di malam-malam ganjil daripada malam genap. Ini berdasarkan hadis berikut : “Aisyah ra berkata : “Rasulullah SAW bersabda : “Bersungguh-sungguhlah mencari Lailatul Qadar di malam ganjil dari sepuluh terakhir dari bulan Ramadhan”. [HR Bukhari & Muslim].

Bagaimanakah tanda-tanda yang benar berkenaan dengan malam yang mulia ini ? Beberapa sabda Rasulullah SAW tentang tanda-tandanya, iaitu :

Ibnu Abbas ra berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Lailatul Qadar adalah malam tenteram dan tenang, tidak terlalu panas dan tidak pula terlalu dingin, esok paginya matahari terbit dengan sinar lemah berwarna merah” [HR Hasan]

Dari Ubay bin Ka’ab ra, Rasulullah SAW bersabda : “Keesokan hari malam Lailatul Qadar matahari terbit hingga tinggi tanpa sinar ” [HR Muslim]

Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya aku diperlihatkan Lailatul Qadar kemudian dilupakan dariku dan ia ada di sepuluh terakhir (dari bulan Ramadhan) dan ia adalah malam yang baik dan cerah, tidak panas dan tidak pula dingin, seakan-akan di dalamnya ada bulan purnama yang menerangi bintang-bintang, syaitan-syaitan tidak keluar sampai terbit fajar”. [HR. Ibnu Khuzaimah, 3/330 dan dishahihkan oleh al-Albani di dalam shahih Ibnu Khuzaimah, 3/330].

Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya tanda Lailatul Qadar bahawasanya adalah malam yang bersih cerah, seakan-akan di dalamnya bulan terang tenang, tidak panas tidak juga dingin, dan tidak boleh bintang dijatuhkan di dalamnya sampai pagi, dan sesungguhnya tandanya adalah matahari pagi harinya terbit sejajar tidak mempunyai sinar seperti bulan pada malam purnama dan tidak halal bagi syaitan untuk keluar bersamaan dengannya pada malam itu”. [HR. Ahmad, no. 22765].

Malam Lailatul-Qadar adalah rahsia Allah. Malam Lailatul-Qadar adalah sebaik-baik malam mengatasi semua malam. Carilah Lailatul-Qadar kerana malam ini merupakan suatu malam yang diberkati serta mempunyai kelebihan dan diperkenankan doa oleh Allah SWT.

Singkaplah tabir di sepuluh malam terakhir. Berlumba kita mencari keredhaanNYA. Hidupkanlah malam dengan beribadah dan iktikaf. Berdoa, bertasbih dan mohonlah keampunan.

Bulan Ramadhan hampir meninggalkan kita, sama-samalah kita merebut peluang keemasan ini.

~ 16 Ramadhan 1439H ~
LihatTutupKomentar