Bersedekahlah Jangan Berlebihan...!

بِســـمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــم

Berpada-padalah dalam berbelanja semasa berbuka puasa mahupun persiapan untuk hari raya. Jangan membazir kerana membazir itu adalah perangai syaitan. Perbuatan syaitan itu memang sia-sia dan merugikan.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud : "Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." [Surah Al-Israa : Ayat 27]

Nauzubillah...

Daripada melakukan pembaziran secara besar-besaran, adalah lebih baik berinfak ke jalan Allah yakni berzakat (wajib) dan bersedekah (sunat). Ingatlah, hak kita ada pada mereka, kerana harta yang dimiliki oleh kita ini hakikatnya adalah milik ALLAH. Maka ALLAH bersama dengan orang-orang yang miskin kerana mereka insan yang lemah, oleh itu duit kita tu adalah milik ALLAH dan hendaklah kita 'pulangkan' hak ALLAH itu kepada orang yang dijaga haknya oleh ALLAH SWT. Apa yang kita infakkan itu tidak mungkin akan disia-siakan. Apa yang dimakan akan habis tetapi pahala infak itu tidak akan habis malahan akan kekal sehingga ke hari akhirat!

Firman ALLAH SWT yang mafhumnya : “Perbandingan untuk mereka yang menyumbangkan harta di jalan ALLAH, adalah laksana sebutir benih yang mampu menumbuhkan tujuh tangkai, manakala di setiap tangkainya pula mampu menghasilkan tambahan seratus benih baru. ALLAH pasti melipatgandakan (ganjaranNYA) kepada sesiapa yang DIA inginkan. Dan ALLAH Maha Luas (kurniaanNYA), lagi Maha Mengetahui”. (Surah Al-Baqarah 2 : Ayat 261)

Rasulullah SAW bersabda, "(Ada) seorang hamba Allah berkata: 'Hartaku Hartaku!' padahal hartanya yang sebetulnya ada TIGA MACAM :

1- Apa yang dimakan lalu habis.
2- Apa yang dipakainya lalu lusuh.
3- Apa yang disedekahkannya, lalu tersimpan (untuk akhirat).

Maka selain daripada 3 macam itu (ia akan) lenyap atau ditinggalkan BAGI ORANG LAIN!"
(Hadis riwayat Imam Muslim).

ALLAH SWT berfirman : "..dan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal" (Surah Al-A'ala)

"Katakanlah apa yang ada di sisi Allah (ganjaran Allah) lebih baik daripada hiburan dan daripada perniagaan dan Allah sebaik-baik Pemberi rezeki" (Surah Al-Munafiqun)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Di saat kematian seseorang anak adam, maka akan terputuslah segala amalannya, melainkan hanya tiga perkara, iaitu SEDEKAH JARIAH, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.” (Riwayat Muslim No. 4310)

Latihlah diri untuk rajin bersedekah.
Jadilah orang yang pemurah.
Gandakan nilai wang kita dengan cara bersedekah atau berbelanja pada jalan ALLAH.
SEMAMPU kita...
سبحانك الله وبحمدك أشهد أن لا إله إلا أنت، أستغفرك وأتوب إليك

LihatTutupKomentar