Jangan sakit HATI suamimu

assalamualaikum warohmatullohi wabarokaatuhu.

Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan Saidatina Aisyah yang bermaksud: “Aku pernah bertanya kepada Baginda, “Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri?” Baginda menjawab: “Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya.” Kemudian aku bertanya lagi, “Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?” Baginda menjawab: “Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya.” (Hadis riwayat Bazar dan al-Hakim)

Jika syurga seorang lelaki atau seorang anak adalah di bawah tapak kaki ibu, tetapi syurga bagi seorang isteri ialah di bawah tapak kaki suaminya.

Bahkan Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud: “Sekiranya aku dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain, nescaya aku perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya.” (Hadis riwayat Tirmidzi dan Ibnu Hibban)

Tanda isteri nusyuz banyak, antaranya:

Menyakiti hati suami
Rasulullah SAW selepas peristiwa Israk dan Mikraj, bersabda kepada sahabat wanita bermaksud: “Kebanyakan ahli neraka adalah wanita. Maka menangislah mereka (sahabat wanita) dan bertanya seorang daripada mereka: Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir? Baginda menjawab: Tidak. Mereka menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur nikmat yang disediakan suaminya.” (Hadis riwayat Muslim).

Puasa sunat dan membawa masuk lelaki ke rumah tanpa izin
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat jika suaminya ada di rumah serta tidak dengan izinnya, dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya (walaupun saudara mara) dengan tidak meminta izin suaminya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Keluar rumah tanpa izin
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Apabila seorang isteri keluar rumah, sedangkan suami membencinya (tidak mengizinkannya)
, dia akan dilaknat oleh semua malaikat di langit dan semua apa yang dilaluinya (di bumi) selain daripada jin dan manusia, sehinggalah dia kembali semula (kepada rumah suaminya).” (Hadis riwayat Thabari)

Meminta cerai tanpa sebab
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya (tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak) haram baginya bau syurga.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmidzi)

Menolak bersetubuh tanpa alasan
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Apabila suami memanggil isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah isteri itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Subhanakallohumma wabihamdika asyhadualla ilahaa illa anta astaghfiruka wa atuubu ilaika.
LihatTutupKomentar