Puasa Tak Sekedar Tak Makan

Sahabat2 Yang Dirahmati ALLAH,

Marilah kita sama-sama mengucapkan ‘Alhamdulillah’ ke hadrat Illahi kerana kita masih bebas bernafas di bumi ciptaanNYA ini untuk merasai kemanisan bulan Ramadhan pada tahun ini. Alhamdulillah.

Ramadhan adalah bulan yang mewajibkan seluruh umat Islam untuk berpuasa. Yakni, menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbitnya fajar sehingga terbenam matahari berserta dengan niat. Maksud puasa ini jelas mengatakan bahawa puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga semata-mata. Bahkan, puasa itu melibatkan seluruh anggota dan perbuatan kita dalam kehidupan kita seharian, bukan setakat bangun bersahur kemudian menahan lapar dan dahaga sehingga azan maghrib berkumandang.

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud : “Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga.” (Riwayat an-Nasaei)

Ramadhan itu sebenarnya bulan untuk mendidik jiwa kita. Mengajar bagaimana untuk menundukkan nafsu, agar iman sentiasa mengalahkan nafsu. Berperang melawan hawa nafsu juga salah satu cabang jihad.

Secara ringkasnya, terdapat 6 langkah untuk mencapai kesempurnaan dalam berpuasa.

Mata
Hendaklah dijaga daripada melihat perkara-perkara maksiat.

Mulut
Hendaklah dijaga daripada mengeluarkan perkataan-perkataan maksiat seperti fitnah, mengumpat dan sebagainya.

Telinga
Hendaklah dijaga daripada mendengar perkataan-perkataan maksiat.

Perut
Hendaklah sentiasa diisi dengan makanan yang halal dan tidak berlebih-lebihan.

Tangan dan kaki
Hendaklah sentiasa dihindarkan dari melakukan dan menuju ke tempat-tempat maksiat.

Hati
Hendaklah sentiasa bermohon agar dikurniakan sifat sabar, taqwa dan redha.

Indahnya andai kita sama-sama dapat merasai kemanisan bulan Ramadhan. Berlumba-lumba untuk berbuat amal. Hayati keindahan dan kemuliaan bulan Ramadhan ini dan hargai peluang yang Allah bagi pada kita. Mungkin ini Ramadhan terakhir buat kita. Tiada siapa yang tahu. Jadi, masih tidak terlambat bagi sesiapa yang masih sengal-sengal tulang untuk pergi berterawih di masjid, masih teragak-agak untuk bersedekah, dan masih berat dagu untuk mengalunkan ayat-ayat suci al-quran. Kita masih di permulaan Ramadhan. Ayuh, kita jadikan Ramadhan sebagai bulan untuk kita mentarbiah diri kita. Kalau Ramadhan tahun-tahun yang lepas telah kita sia-siakan, Ramadhan kali ini biarlah jadi Ramadhan yang terhebat untuk kita. Apa lagi, jom mentarbiah diri!

LihatTutupKomentar