Hidup Lebih Bahagia Apabila Aurat Dijaga


Sinar Hidayah


Assalammualaikum....
Saat ini ku tulis kisah diri. Bukan untuk meminta pujian atau penghargaan setinggi langit. Hanya doa dipinta agar diri ini dapat istiqamah dengan penghijrahan diri.

Beberapa tahun yang lalu, aku adalah seorang gadis yang berpakaian biasa, cukup sekadar bertudung walaupun baju dan seluar yang dipakai tidak menepati hukum islam. Ini yang dikatakan membalut aurat, bukan menutup aurat.

Pada masa yang sama, solat ku juga tidak terjaga. Sering kali lewat, malah kadang-kadang tertinggal. Bukan aku tidak sedar semua itu adalah salah, tetapi hati ini lemah! Sentiasa termakan pujukan syaitan yang sentiasa ingin menyesatkan hamba Allah.

Benar, ketika itu setiap kali aku keluar dari rumah, ada saja mata-mata nakal yang liar memandang padaku. Pernah juga aku diganggu secara agresif oleh mereka! Pelbagai gangguan lagi yang aku hadapi sepanjang menjalani kehidupan sedemikian. Dan sesungguhnya aku tidak tenang dengan situasi begitu.

Namun, pada suatu ketika, aku mula terfikir sejenak, apakah cara hidup aku seperti ini akan memberi kebahagiaan kepadaku di dunia dan akhirat kelak? Kebetulan, pada saat itu, aku mula bersahabat baik dengan seorang rakan sekuliah aku. Perwatakannya sangat baik, pakaiannya agak sempurna, auratnya tertutup rapi.

Aku berasa sangat tenang melihat beliau. Secara perlahan-lahan tanpa disedari, aku mula mengikuti setiap langkahnya untuk berubah. Mengenakan pakaian yang labuh dan longgar, melabuhkan tudung, kemudian bersarung kaki atau memakai kasut yang bertutup.

Sememangnya diri ini kelihatan begitu indah dalam keadaan seperti itu.. pakaian yang longgar memudahkan aku untuk bergerak, tidak seperti pakaian yang ketat.

Sesuatu yang sangat jelas kelihatan adalah, setiap perbuatan gerak-geri aku tidak menjadi tatapan mata kaum Adam yang nakal lagi seperti dulu! Ke mana sahaja yang aku pergi, tiada lagi gangguan!

Selain itu, bonus istimewa daripada perubahan ini adalah, solat aku semakin terjaga. Walaupun aku tidak tahu adakah sempurna solatku, namun ia tidak lagi sering tertinggal seperti sebelum iniAlhamdulillah, kini amalan bertudung labuh, berpakaian labuh terus menjadi pakaian rutin dalam kehidupanku. Selain itu, aku juga turut membiasakan diri dengan berniqab supaya tidak timbul rasa riak dihati terutama sekali mendapat pujian daripada sesiapa.

Dan yang paling penting, ingin kecantikan yang Allah kurniakan hanya menjadi tatapan buat suami tercinta kelak.

Namun, belum dapat diistiqamahkan, kerana faktor tempat belajar dan keluarga.

Apa yang pasti, setiap yang berlaku dengan izin-Nya itu telah banyak mengubah kehidupanku. Aku berasa amat bahagia dan tenang dengan diri ku yang baru.

Semoga penghijrahan ini diredhai Allah dan mampu istiqamah selamanya. Walau asbabnya adalah teman sebilikku, namun hakikatnya Allah jualah yang membuka pintu hati ini. Sesungguhnya hijrah ini semata-mata kerana-Nya. Semoga aku dan wanita di luar sana dapat menjadi muslimah yang solehah di dunia dan akhirat, insyaAllah.

Adik-adik dan sesiapa saja yang masih dalam keadaan seperti ku dahulu, ayuhlah kita berhijrah! Insya-Allah, kehidupan kita akan menjadi lebih baik.

Ingatlah, harga diri tidak mudah tercalar jika aurat terpelihara… kecantikan dan keindahan wanita terpancar apabila auratnya tertutup sempurna.

Penulis
Ainnur Habiba Ahmad Yani

Editor
Naquiah Noor
(iluvislam)
LihatTutupKomentar