Menggapai CINTA ALLAH

Assalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh

بِســـمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــم

Segala puji bagi ALLAH SWT, Tuhan sekelian alam.
Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad Rasulullah SAW, keluarga dan para sahabat.

Menggapai CINTA ALLAH

Cinta menurut pandangan Islam adalah suatu perkara yang dibenarkan. Islam adalah agama fitrah dan cinta itu adalah fitrah manusia. Islam tidak melarang seseorang untuk mencintai dan dicintai. Rasulullah menggalakkan kita mengucapkan cinta itu.

"Apabila seseorang itu mencintai saudaranya hendaklah ia memberitahu bahawa dia mencintainya" (HR Abu Daud dan Tarmidzi)

Seorang muslim dan muslimah tidak dilarang untuk saling mencintai malah adalah sangat digalakkan kerana terdapat beberapa kelebihan melaluinya. Islam tidak menghalang cinta dan telah disediakan saluran yang halal (iaitu bernikah) di mana sepasang manusia itu bebas bercinta.

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNYA, DIA menciptakan untukmu pasangan-pasangan dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikanNYA di antaramu rasa cinta dan kasih sayang." (Surah Ar-Rum : Ayat 21)

Ayat di atas merupakan satu jaminan bahawa cinta dan kasih sayang itu akan ALLAH SWT campakkan ke dalam hati pasangan yang bersatu kerana ALLAH (iaitu dengan cara bernikah). Jadi tidak perlulah menunggu untuk jatuh cinta terlebih dahulu ataupun "bercouple" dahulu sebelum menikah. Islam telah jelas menetapkan batasan-batasan ini untuk mengelak dari timbulnya gejala sosial dalam masyarakat. Betapa cantiknya Islam, setiap apa yang ditetapkan itu punya hikmah yang tersendiri.

Dalam Islam terdapat beberapa tahap cinta. Tidak boleh yang lain mengatasi yang lain melainkan mengikut turutannya. Ibnu Qayyim menyatakan ada 6 tahap cinta itu :

Tahap pertama dan yang paling tinggi sekali ialah cinta yang menjadi hak ALLAH SWT semata-mata. Itulah cinta hamba kepada Khaliq.

Tahap kedua selepas cinta kepada ALLAH SWT ialah cinta kepada kekasih ALLAH iaitu Rasulullah SAW. Cinta yang melahirkan rasa hormat, patuh, ingin mempertahankannya, ingin menjadi pengikutnya dan melaksanakan segala sunnahnya.

Tahap ketiga ialah cinta antara mukmin dengan mukmin yang lain. Antara ibu bapa dan anak, antara suami dan isteri yang membuahkan rasa mawaddah wa rahmah.

Tahap keempat ialah cinta sesama muslim yang melahirkan rasa ukhwah Islamiyah.

Tahap kelima ialah cinta sesama manusia.

Tahap keenam ialah cinta kepada selain manusia yakni binatang, harta benda dll.

Cinta dan iman adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Kedua-duanya saling berkait rapat. Tidak akan rasa manisnya iman tanpa perasaan cinta.

Imam Ahmad meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Hurairah ra, dari Rasulullah SAW : "Barangsiapa ingin memperolehi kelazatan iman, hendaklah ia mencintai seseorang hanya kerana ALLAH SWT" (Riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah).

Dari Anas ra,. dari Rasulullah SAW, baginda bersabda : "Ada tiga perkara di mana orang yang memilikinya akan merasai manisnya iman, iaitu mencintai ALLAH dan RasulNYA melebihi segala-galanya, mencintai seseorang hanya kerana ALLAH, dan enggan untuk menjadi kafir setelah diselamatkan ALLAH daripadanya sebagaimana enggannya dia dilemparkan ke dalam api." (HR Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Hurairah ra., Rasulullah SAW bersabda : "Demi zat yang jiwaku ada dalam genggamanNYA, kamu sekalian tidak akan masuk syurga sebelum beriman, dan kamu sekalian tidaklah beriman sebelum saling mencintai" (HR Muslim).

Carilah cinta sejati, di lautan cinta berbahterakan taqwa, berlayarkan iman yang dapat melawan gelombang syaitan dan hempasan nafsu, InsyaALLAH kita akan sampai kepada tujuannya iaitu CINTA kepada ALLAH SWT. Itulah cinta hakiki yang kekal selamanya.

Adapun cinta kepada makhluknya, pilihnya cinta yang hanya berlandaskan cinta kepada ALLAH dan RasulNYA. Bukan kerana pujuk rayu syaitan dan nafsu yang menggoda. Jadikan cinta manusia sebagai jambatan atau perantaraan untuk kita meraih Cinta ALLAH. InsyaALLAH moga Cinta itu diberkati dan dirahmati ALLAH SWT.

"Ya ALLAH, kurniakanlah kepada kami CintaMU dan Cinta kepada mereka yang mencintaiMU dan apa saja yang mendekatkan kami kepada CintaMU. Aaamiiiin Ya Robbal Alamiiiin”.

♥ الله♥

♥ ALLAH SWT MELIHAT ♥ ~ ♥ MALAIKAT MENCATAT ♥

~ 21 Muharam 1434H ~
LihatTutupKomentar