Membetulkan Niat

Assalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh

بِســـمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــم

Segala puji bagi ALLAH SWT
Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad Rasulullah SAW, keluarga dan para sahabat.


Membetulkan Niat

Rasulullah SAW bersabda, “Sungguh, hanya dengan niatlah, amal itu sah dan bagi setiap orang adalah apa yang diniatkannya. Barangsiapa hijrahnya kepada ALLAH dan RasulNYA, ia berhijrah kepada ALLAH dan RasulNYA. Barang siapa hijrahnya untuk dunia yang ia kejar atau demi wanita yang dinikahinya, ia berhijrah kepada apa yang ditujunya.”
(HR Bukhari dan Muslim)

Niat mempunyai peranan penting dalam kehidupan seharian, khususnya dalam beribadah. Segala tindak-tanduk yang kita lakukan dalam kehidupan seharian harus didasari dengan niat yang tulus dan penuh keikhlasan kerana ALLAH SWT semata.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya ALLAH tidak melihat (menilai) bentuk tubuh dan rupa kalian, tetapi ALLAH melihat apa yang ada di hati kalian.”
(HR Muslim)

Hadis tersebut menerangkan bahawa ALLAH SWT tidak melihat apa yang tampak daripada zahir kita tetapi ALLAH SWT melihat hati kita, melihat niat yang bersemayam di dalam hati setiap manusia. Hanya keikhlasan dan kemurnian niatlah yang ALLAH SWT terima di sisiNYA.

Sesungguhnya, niat merupakan roh dalam amal. Seperti halnya jasad yang tak bernilai tanpa roh. Ia hanya tampak seperti bangkai yang tiada harga sedikit pun. Begitu juga amal, ia tidak akan bernilai tanpa niat. Segala amal yang dikerjakan tanpa niat tidak akan menghasilkan manfaat sedikit pun, hanya sia-sia semata-mata. Rasulullah SAW bersabda, “Tidak ada solat bagi orang yang tidak berwuduk dan tidak ada amal bagi orang tidak berniat.”

Niat merupakan pengendali hati. Sebagaimana seekor kuda tidak akan terarah langkahnya tanpa tali kekang. Hati pun tidak akan lurus dalam mencapai suatu tujuan tanpa niat yang lurus. Itulah juga merupakan pemandu hati. Sebagaimana nakhoda yang berlayar di lautan luas, ia tidak akan mencapai pulau yang hendak dituju tanpa panduan arah. Selain itu, niat juga awal suatu perjalanan. Nilai akhir suatu perjalanan sangat ditentukan oleh niat di awal perjalanan.

Meski begitu, terkadang ada perubahan niat di akhir perjalanan, dari niat yang baik berubah menjadi niat yang buruk di akhir perjalanan. Maka dari itu, kita dimestikan terus mengupdate niat di awal, tengah dan akhir perjalanan.

Natijah niat yang sesungguhnya adalah meniatkan segala sesuatu kerana ALLAH SWT semata-mata. Abu Sa’id al-Khudry ra berkata, “Makanlah kerana ALLAH, berpakaianlah kerana ALLAH, berkahwinlah kerana ALLAH dan tidurlah kerana ALLAH. Maka, tidak akan ada sesuatu yang memudaratkan.


♥ ALLAH SWT MELIHAT ♥ ~ ♥ MALAIKAT MENCATAT ♥

♥ ﷲ ♥

~ 23 Zulkaedah 1433H ~
LihatTutupKomentar