Janji Kita Kepada Alloh


Kita lupa yang kita ni pernah berjanji taat setia kepada ALLAH di alam roh suatu ketika dahulu. Tetapi bila kita diutuskan ke dunia, kita lupa kepada janji2 kita kepada ALLAH. Buktinya? Ada di dalam Al-Qur’an, tercatit dengan jelas, terang dan nyata.

Di dalam surah Al-A'raf, ayat 172 ALLAH SWT menyatakan, " Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNYA): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini."

Hakikatnya, kita semua mengaku tidak ingat langsung tentang keadaan kita di alam roh apatah lagi kita boleh berkata-kata untuk melafazkan janji semasa di alam 'sana'. Wallahua'lam, ALLAH SWT lebih Mengetahui. Tetapi ALLAH SWT sudah pun mengingatkan kita menerusi ayat tadi yang termaktub di dalam Al-Qur’an.

Inilah FITRAH kita sebagai manusia hidup di muka bumi ALLAH ini. Di dalam diri kita, terikatnya kalimah La'ila ha'illallah. Tidak ada manusia yang dilahirkan sebagai Kristian, Yahudi atau Majusi melainkan mereka dilahirkan secara fitrahnya adalah mentauhidkan ALLAH semata-mata, yakni Islam. Bahkan sebenarnya, ibu bapa atau penjaga merekalah yang menjadikan mereka ini Majusi, Nasrani dan Yahudi. Nauzubillah..

Dalilnya, daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda : “Tidak ada seorang anak yang dilahirkan kecuali mereka dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka ibu bapalah yang mengyahudikan mereka, mengkristiankan
mereka dan memajusikan mereka ..” (Diriwayatkan muttafaqun ‘alaih daripada Abu Hurairah RA. Bukhari, no. 1358 dan Muslim, no. 22)

Sekiranya kita mengambil masa untuk merenung hakikat ini dengan sebaik-baiknya, pastilah kita akan mendapat kesedaran bahawa betapa pentingnya kita menyeru kepada golongan non-muslim untuk mentauhidkan Allah yang Maha Pencipta. Sesungguhnya mereka berada di dalam kesesatan yang nyata.

Jadi, apakah tugas kita sebenarnya di muka bumi ALLAH ini?
Kenapa ada orang kafir dan kenapa ada orang Islam?
Kenapa wujudnya banyak budaya yang sebahagiannya baik dan sebahagiannya lagi sesat?
Ini semua adalah ketentuan ALLAH untuk menunjukkan betapa luasnya ilmu ALLAH sebagai Tuhan Sekalian Alam. Kepelbagaian sesuatu yang ada di muka bumi ini menunjukkan betapa besarnya kuasa ALLAH yang Maha Besar.

Subhanallah.

Ingatlah, kita semua pernah berjanji dengan ALLAH suatu ketika dahulu, bahawa hanya ALLAH Tuhan kita. Tiada yang lain melainkan ALLAH SWT.

~ 22 Ramadhan 1433H ~
LihatTutupKomentar